Wednesday, 13 April 2016

peristiwa penting dalam Islam di bulan Rejab





Rejab bermaksud kebesaran atau kemuliaan dan merupakan bulan yang penting dalam Islam. Bulan Rejab termasuk dalam empat bulan yang diharamkan berperang. Terdapat banyak peristiwa yang berlaku dalam bulan ini.
Antaranya :-

1) Hijrah ke Habsyah
Peristiwa ini berlaku pada tahun kelima kebangkitan Rasulullah s.a.w.
Kaum muslimin di Mekah menghadapi penyiksaan dan penindasan yang dahsyat yang dilakukan oleh orang-orang Quraisy. Mereka tidak berdaya lagi untuk tinggal di Mekah, lantas memaksa mereka berfikir jalan untuk bebas dari kesengsaraan yang dihadapi.
Ketika itu, turunlah surah az-Zumar yang mendedahkan tentang tindakan hijrah.
“Katakanlah: “Hai hamba-hamba-Ku yang beriman. Bertakwalah kepada Tuhanmu”.Ingatlah orang-orang yang berbuat baik di dunia ini memperoleh kebaikan. Dan bumi Allah itu adalah luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas. “. (az-Zumar :10)
Najasyi, pemerintah Habsyah (Ethiopia) ketika itu terkenal sebagai seorang yang adil dan tidak menindas rakyatnya. Justeru, Rasulullah memerintahkan kaum muslimin untuk berhijrah ke Habsyah sebagai langkah untuk menyelamatkan agama mereka dari fitnah yang dihadapi.
Rombongan ini terdiri dari enam belas orang termasuk empat wanita dan dipimpin oleh Uthman bin Affan r.a. Hijrah ini berlaku pada tahun kelima kebangkitan Rasulullah s.a.w dan merupakan hijrah pertama yang berlaku dalam sejarah Islam.
2) Isra’ dan mikraj
Isra’ bermaksud perjalanan Rasulullah s.a.w pada waktu malam dengan menaiki buraq dari Masjidil Haram ke Baitulmaqdis manakala mikraj bermaksud naiknya Rasulullah s.a.w dari Baitulmaqdis ke Sidratul Muntaha. Ulama’ kuat menyatakan bahawa peristiwa ini berlaku pada 27 Rejab tahun ke-10 kebangkitan baginda s.a.w.
Rasulullah diangkat ke langit dan dibawa bertemu dengan para nabi terdahulu. Baginda juga diperlihatkan dengan siksaan neraka dan juga nikmat-nikmat di syurga. Baginda kemudian dibawa naik bertemu dengan Allah s.w.t dan ketika itulah perintah solat diturunkan ke atas umat Islam.
3) Perang Tabuk
Nama Tabuk diambil sempena nama satu tempat di Utara Semenanjung Arab.
Peristiwa Perang Tabuk ini berlaku selepas pembukaan kota Mekah. Setahun selepas tercetusnya Perang Mu’tah, Madinah tiba-tiba dihebohkan dengan berita bahawa tentera Rom sedang membuat persiapan untuk menyerang kota itu. Rasulullah s.a.w mengambil keputusan untuk bertempur dengan tentera Rom di tempat mereka ini dan dengan itu dapat menghalang pihak Rom dari menyerang Madinah.
Kaum muslimin berlumba-lumba menginfakkan harta untuk membiayai peperangan. Uthman bin Affan menyedekahkan 900 ekor unta dan 100 ekor kuda selain wang. Abu Bakar pula menginfakkan keseluruhan hartanya manakala Umar al-Khattab menyerahkan separuh dari harta miliknya.
Rasulullah s.a.w bergerak menuju Tabuk bersama-sama 30,000 tentera muslimin. Walaupun banyak harta yang telah diinfakkan, namun masih belum mencukupi untuk menampung bala tentera yang sebegini besar. Ditambah pula dengan kemarau teruk yang melanda ketika itu. 18 orang tentera terpaksa bergilir-bergilir menunggang seekor unta dan mereka juga terpaksa memakan daun-daun kayu sebagai alas perut.
Apabila Rom mendapat tahu kemaraan tentera Islam dengan jumlah yang besar, mereka mula berasa gerun. Pemerintah Ailah Yuhana (John) telah datang menemui Rasulullah s.a.w dengan tujuan untuk berdamai. Atas pertolongan Allah, pertempuran antara muslimin dan Rom tidak tercetus dan tentera Islam bergerak pulang ke Madinah tanpa menghadapi sebarang tentang musuh.
4) Pembebasan Baitul Maqdis
Baitul Maqdis pertama kali dibuka pada zaman pemerintahan Saidina Umar al-Khattab. Sejak tercetusnya Perang Salib pada zaman Abbasiyah, tentera kristian telah melakukan serangan demi serangan ke atas Baitul Maqdis. Akhirnya, setelah 500 tahun berada dalam kekuasan Islam, kota ini telah ditawan tentera Salib.
Mereka menduduki kota itu selama hampir 60 tahun sebelum dibebaskan semula oleh panglima Islam yang terkenal, Salahuddin al-Ayubi. Peristiwa penawanan semula kota Baitul Maqdis dari tentera salib ini berlaku pada hari Jumaat, 27 Rejab pada tahun 583H.
5) Kelahiran Imam Shafie
Imam Shafie dilahirkan pada tahun 150H bersamaan 767 Masihi di Gaza, Palestin. Nama sebenar beliau ialah Muhammad bin Idris dan tergolong dalam kerabat Rasulullah s.a.w dimana beliau dari keturunan Bani Mutalib. Beliau seorang yang cerdas dan mempunyai daya ingatan yang sangat kuat. Pada usia 7 tahun , Imam Shafie telah menghafal keseluruhan al-Quran dan pada usia 15 tahun, beliau diberi keizinan untuk mengeluarkan fatwa.
Imam Shafie merantau ke beberapa tempat untuk menuntut ilmu. Antara tempat yang pernah didudukinya ialah Mekah, Madinah, Iraq, Yaman dan Mesir. Beliau telah berguru dengan ulama’-ulama’ terkenal seperti Imam Malik bin Anas, mufti Mekah Muslim bin Khalid az-Zanji dan Imam Ahmad bin Hanbal.
Kehebatan beliau dalam dunia ilmu dikagumi oleh semua orang termasuk guru-gurunya sendiri. Imam Ahmad Bin Hanbal pernah berkata: ”Imam Shafie itu ibarat matahari bagi dunia”

sumber : KLIK SINI

No comments:

Post a Comment